BPJ Business Park, hab komersial berdaya saing  

BPJ Business Park menawarkan 94 unit pejabat kedai teres dua hingga tiga tingkat dan 16 unit pejabat kedai separa berkembar dua tingkat.

OSK Property melancarkan hab komersial terbarunya di Sungai Petani, BPJ Business Park dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM98 juta di atas tanah pegangan bebas seluas 11.16 hektar.

Secara keseluruhan, projek ini terdiri daripada pejabat kedai Fasa 1 dan Fasa 2 yang merangkumi 6.45 hektar, Pasar raya Lotus’s BPJ yang sedia ada sebesar 2.26 hektar dan juga tapak pembangunan yang akan datang sebesar 2.44 hektar.

Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Ong Ghee Bin berkata, pembangunan inovatif itu menampilkan konsep pandu lalu yang unik dan pejabat kedai berorientasikan gaya hidup yang bersedia mengubah landskap komersial tempatan.

“Lokasinya strategik dan berhadapan dengan jalan utama Jalan Kuala Ketil serta Lebuhraya Sungai Petani Eastern Bypass serta menawarkan keterlihatan tinggi dalam memastikan aliran pelanggan yang berterusan ke pembangunan ini.

“Hab komersial ini dikelilingi oleh kawasan perumahan yang sedia ada seperti Bandar Puteri Jaya, Bandar Utama dan Bandar Seri Astana yang menjadi tempat tinggal hampir 200,000 penduduk.

“Pembangunan ini bakal menambah kepada kumpulan pengguna sedia ada yang akan memberi manfaat kepada perniagaan yang bakal beroperasi,” katanya.

Jelas Ghee Bin, BPJ Business Park menawarkan 94 unit pejabat kedai teres dua hingga tiga tingkat dan 16 unit pejabat kedai separa berkembar dua tingkat berorientasikan gaya hidup yang direka untuk memenuhi pelbagai keperluan perniagaan.

“Dengan harga bermula dari RM 806,455 dan saiz tanah bermula dari 20′ x 75′ hingga 100′, setiap unit direka untuk meningkatkan imej dan fungsi perniagaan.

“Pembangunan ini termasuk ruang letak kereta yang mencukupi, pejabat kedai berkembar dan ciri pandu lalu yang mewujudkan persekitaran kondusif untuk perniagaan, kerja, dan riadah,” katanya.

Menurutnya, perkara yang menggembirakan adalah potensi ruang untuk menjadi hab pusat di Sungai Petani yang akan menjadi sebuah tempat melahirkan sebuah idea, menjalin persahabatan dan mencipta kenangan.

“Kami membayangkan BPJ Business Park sebagai persekitaran yang meriah dan inklusif yang tidak hanya memberi perkhidmatan kepada komuniti perniagaan, tetapi juga keluarga, golongan profesional muda dan semua yang menjadikan bandar ini sebagai rumah mereka,” katanya.

Tambahnya, Fasa 1 yang telah habis dijual dan Fasa 2 kini dibuka untuk jualan dengan tawaran peluang yang menguntungkan bagi pelabur dan pemilik perniagaan untuk memiliki sebahagian daripada pusat komersial terhangat seterusnya di bandar ini.

“Dengan lokasinya yang berdekatan dengan Lotus’s Bandar Puteri Jaya dan pasar raya Econsave yang berdekatan, hab komersial yang semakin berkembang ini menawarkan kemudahan gaya hidup untuk pemilik perniagaan dan pelanggan di Sungai Petani,” katanya.

Source: Utusan Malaysia