HARBOUR VIEW RESIDENCE TAWAR KEDIAMAN MAMPU MILIK

PROJEK dengan 373 unit apartmen ini terletak di lokasi strategik yang ideal untuk mereka yang mahukan keseimbangan kerjaya dan kehidupan peribadi.

Oleh HENDRA WINARNO

KUALA LUMPUR: OSK Property melancarkan projek apartmen terbaharu, Harbour View Residence, yang menawarkan kediaman mampu milik lengkap dengan pelbagai kemudahan
gaya hidup di pusat bandar Butterworth, Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ong Ghee Bin berkata, projek tersebut mempunyal nilai Pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM169.85 juta di atas tanah seluas 2.04 ekar dan dijangka siap pada suku pertama 2029.
“Sebanyak 373 unit apartmen berkeluasan 950 kaki persegi setiap satu ditawarkan pada harga bermula RM250,000 seunit dengan tiga bilik tidur, dua bilik air serta dua hingga empat petak parkir.

“Kemudahan lain termasuk taman permainan kanak-kanak, kolam renang dewasa dan kanak-kanak, dewan serbaguna, gimnasium, gelanggang pickleball, kawasan barbeku, gazebo serta aktiviti rekreasi seperti Ular dan Tangga, Lompat Getah dan Catur Gergasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, unit-unit tersebut telah dibuka untuk jualan sejak Januari 2025 dan setakat ini lebih 55 peratus telah ditempah.

“Pembeli juga berpeluang memenangi sebuah Proton Alza menerusi kempen cabutan bertuah yang ditawarkan,” katanya.

Ghee Bin berkata, projek berkenaan menampilkan reka bentuk luas dan praktikal serta terletak di lokasi strategik berhampiran Penang Sentral LRT yang bakal dibina, pusat membeli-belah, pasar raya, sekolah dan hospital.

“Harbour View Residence disasarkan kepada golongan muda, keluarga baharu serta mereka yang bekerja di sekitar Seberang Perai dan Pulau Pinang.

“Lokasinya yang dekatan dengan pelbagai kemudahan awam menjadikania pilihan ideal untuk mereka yang inginkan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi,” ujarnya.

Beliau berkata, OSK Property komited mendukung agenda perumahan mampu milik negara dengan memastikan kualiti pembinaan dan reka bentuk kekal terpelihara meskipun pada harga berpatutan.

“Kami percaya setiap orang berhak menikmati kediaman yang selesa, selamat dan lestari. Oleh itu, kami sentiasa menekankan aspek praktikaliti, keselamatan dan kelestarian dalam setiap projek.

“Oleh itu, Harbour View Residence turut dilengkapi sistem keselamatan 24 jam serta akses masuk menggunakan kad bagi menjamin keselamatan penghuni,” ujarnya.

Tambahnya, dalam usaha memupuk semangat komuniti, pembangunan itu dirancang dengan ruang interaksi sosial seperti taman komuniti, kawasan penanaman komuniti, dek santai dan bilik permainan yang sesuai untuk semua lapisan umur.

“Kami ingin membina lebih daripada sekadar rumah, sebaliknya mewujudkan komuniti mesra dan saling menyokong.

“Seiring visi jangka panjang OSK Property, projek tersebut juga memperoleh pensijilan GreenRE yang menekankan penggunaan bahan binaan mesra alam dan kelengkapan bilik air yang menjimatkan air, selaras dengan konsep pembangunan lestari,” katanya.

Source : Utusan Malaysia