Taman Lang Aman, kediaman moden di Sungai Petani

pada harga RM412,965.
Oleh HENDRA WINARNO 7 April 2025, 7:22 am
PROJEK perumahan terbaharu, Taman Lang Aman dari OSK Property menawarkan kediaman moden kontemporari dalam suasana kejiranan yang selesa dan strategik di Sungai Petani, Kedah.
Ditemani pemandangan indah Gunung Jerai di mana tempat helang berterbangan di langit, Taman Lang Aman bakal menjadi projek kediaman pilihan di Sungai Petani.
Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Hartanah OSK Property, Ong Ghee Bin berkata, projek itu dibangunkan di atas tanah seluas 20.3 hektar dan merangkumi 197 unit rumah teres dua tingkat bagi fasa pertama yang dijual bermula pada harga RM412,965.
“Pembangunan ini menampilkan dua jenis reka bentuk kediaman yang praktikal dan memenuhi keperluan pembeli, termasuk halaman belakang yang lebih luas bagi satu daripada jenis unit.
Dari segi keselamatan, projek ini turut dilengkapi dengan pondok pengawal dan pagar perimeter bagi fasa tertentu untuk memastikan keselesaan dan ketenangan penduduk.
“Selain itu, kemudahan riadah seperti lorong berbasikal dan padang turut disediakan bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam komuniti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, lokasi perumahan yang strategik itu menjadi satu daripada tarikan utama kerana ia dikelilingi pelbagai kemudahan asas yang lengkap.
“Penduduk Taman Lang Aman akan menikmati akses mudah ke TF Mart Sungai Lalang, Amanjaya Mall, Amanjaya Walk, Lotus’s Sungai Petani Utara selain pelbagai kemudahan lain di kawasan berhampiran.
“Ia juga terletak berhampiran dengan Amanjaya Walk dan Amanjaya Mall, destinasi membeli-belah popular di Sungai Petani.
“Bagi mereka yang kerap menggunakan lebuh raya, kedudukannya juga berhampiran Tol Sungai Petani Utara memberi kemudahan perjalanan yang lebih lancar.
“Selain itu, dengan jarak hanya 10 minit ke pusat bandar Sungai Petani, projek ini memberikan kemudahan akses kepada institusi pendidikan, pasar raya dan agensi kerajaan,” ujarnya.
Ong Ghee Bin berkata, konsep perumahan moden kontemporari yang diketengahkan menjadikan projek itu sesuai untuk golongan yang mencari kediaman selesa dan praktikal.
“Setiap unit direka dengan tata susun ruang yang efisien bagi memenuhi keperluan keluarga moden dan Taman Lang Aman bukan sekadar menawarkan kediaman, tetapi juga membina komuniti yang harmoni dan selamat.
“Dengan kombinasi lokasi strategik, reka bentuk moden dan kemudahan lengkap, Taman Lang Aman dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli,”katanya.- UTUSAN
Source: Utusan Malaysia